Categories
Artikel

Tunjuk Perasaan di Universiti Bogazici Istanbul, agenda siapa?

Laporan Ismaweb.net menyatakan dalam demonstrasi pada Jumaat lalu, para penunjuk perasaan menggantung sebuah karya seni yang menggambarkan tempat suci Mekah dengan gambar bendera pelangi gerakan LGBT digantung di seberang pejabat rektor baharu.

Justeru, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengecam gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Turki tersebut kerana melakukan tindakan ‘vandalisme’ yang mengakibatkan tercetusnya tunjuk perasaan pelajar.

Empat orang ditangkap pada hujung minggu lalu kerana menghina kawasan suci Umat Islam ketika tunjuk perasaan di Universiti Bogazici, Istanbul. Dan terbaharu, demonstrasi kedua meletus di universiti yang sama dan mengakibatkan 159 orang penunjuk perasaan ditahan oleh pihak polis Turki di Istanbul kerana membantah tindakan Presiden Tayyip Erdogan melantik rektor baharu di  Universiti Bogazici, Istanbul.

Penuntut-penuntut di Universiti Bogazici di Istanbul memulakan tunjuk perasaan hampir sebulan lalu selepas mendakwa pelantikan Melih Bulu sebagai rektor bersifat tidak demokratik kerana dianggap menghalang kebebasan berakademik.

Sejak 2 Januari lalu, kedua-dua pihak yang terdiri daripada  pelajar dan ahli akademik Boğaziçi membantah pelantikan Melih Bulu sebagai presiden universiti baru oleh Recep Tayyip Erdoğan selaku Presiden dan Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Pelajar Middle East Technical University juga dilihat  turut bersolidariti menentang pelantikan rektor tersebut, atas dasar autonomi mahasiswa dan universiti serta menuntut kebebasan pelajar yang ditangkap. 

Walaubagaimanpun, terdapat pertikaian kepada situasi sebenar yang berlaku melalui liputan pelaku media pro-kerajaan arus perdana mengenai peristiwa-peristiwa ini. Hal ini kerana media melaporkan bahawa orang yang ditahan bukanlah daripada kalangan pelajar, tetapi mereka adalah anggota organisasi sebuah pertubuhan haram sedangkan Canan Kaftancıoğlu, presiden wilayah Parti Rakyat Republik di Istanbul menyatakan mereka yang terlibat adalah pelajar.

Insiden tunjuk perasaan pelajar universiti yang berlaku semasa pandemik ini turut meraih sokongan daripada pemimpin parti pembangkang, iaitu Ketua Parti Rakyat Republik (CHP) pembangkang utama Kemal Kılıçdaroğlu, Ketua Parti DEVA Ali Babacan, Ketua Parti Pekerja Turki (TİP) Erkan Baş dan Ketua Bersama Parti Demokratik Rakyat (HDP) Mithat Sancar.

Parti pembangkang telah menggunakan isu autonomi universiti dan mahasiswa bagi mengeruhkan keadaan, dan ini dapat dilihat menerusi ciapan oleh Ketua Parti Rakyat Republik (CHP) pembangkang utama iaitu Kemal Kılıçdaroğlu di laman twitter miliknya, beliau berkata: 

“It is unacceptable that young people are detained in a midnight operation because they defend their university, meritocracy, and justice… Rector Melih Bulu must leave the office and put an end to this ugly situation.”

Pelantikan Melih Bulu sebagai rektor baharu oleh Presiden Turki  di Universiti Bogazici Istanbul pada 1 Januari telah menimbulkan ketegangan pihak universiti dan pelajar kerana lantikan ini sebenarnya telah melanggar tradisi pelantikan rektor yang sebenarnya perlu dilantik daripada pihak universiti tanpa campur tangan parti pemerintah.

Sementelah itu, kejadian ini bertambah buruk apabila pihak parti pembangkang seolah-olah mengambil kesempatan mempergunakan laungan solidariti pelajar universiti dalam mendapatkan hak autonomi mahasiswa dan universiti yang tidak mendatangkan apa-apa penyelesaian bahkan telah menambahkan huru-hara.

Namun, insiden ini sebenarnya bukan hanya melibatkan ahli akademik, pelajar dan parti kerajaan serta pembangkang apabila media turut melaporkan bahawa terdapat organisasi haram yang turut menimbulkan kekacauan dalam tunjuk perasaan ini. Persoalannya, siapakah sebenarnya pertubuhan haram tersebut dan apakah agenda di sebaliknya? 

Rujukan: 

http://socialistmiddleeast.org/youth-vs-erdogan-release-comrades-denizhan-and-emrecan

https://www.evrensel.net/daily/423083/bogazici-university-students-gathered-infront-of-the-rectorate-and-called-for-the-resignation-of-the-rector-bulu

https://bianet.org/english/education/238499-academics-of-bogazici-university-release-our-students

https://malaysiagazette.com/2021/02/02/polis-tahan-159-penunjuk-perasaan-bantah-pelantikan-rektor-universiti/

https://ismaweb.net/2021/02/02/tunjuk-perasaan-pelajar-erdogan-kecam-gerakan-lgbt/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *