Categories
Artikel

PKP, Benarkah melanggar hak asasi?

Pelbagai reaksi dan respon masyarakat yang kita lihat selepas Perdana Menteri kita mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu. Kini, disusuli pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sesetengah kawasan dan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB).

Kalau kita lihat situasi di luar negara, apabila arahan berkurung dikeluarkan, mereka memilih untuk memberontak dan mengadakan demonstrasi jalanan. Sebagai contoh, apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat dan Jerman. Bahkan, lebih teruk apabila rakyat Negara Jerman mengadakan demonstrasi itu sebagai rutin mingguan mereka.

Jika kita perhatikan gambar-gambar yang dipaparkan pada dada akhbar, kebanyakan mereka mengangkat sepanduk bahawa perintah berkurung ialah perkara yang melanggar hak asasi manusia.

Namun di Malaysia, kita tidaklah sampai pada tahap perintah berkurung, tetapi kita menggunakan istilah PKP. Persoalannya, adakah PKP benar-benar melanggar hak asasi manusia?

Sebelum merungkai persoalan ini, maksud hak asasi mengikut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah hak yang dimiliki oleh manusia tanpa mengira bangsa, jantina, kewarganegaraan, etnik, bahasa, agama atau status lain. Hak ini juga termasuklah kebebasan bersuara, hak untuk mendapatkan pendidikan, hak untuk beragama dan lain-lain tanpa adanya diskriminasi.

Bagi konteks negara kita, hak-hak ini sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 5 sehingga Perkara 13. Antaranya ialah hak kebebasan bergerak pada Perkara 9, hak kebebasan berhimpun secara aman pada Perkara 10 (1)(b), hak beragama pada Perkara 11 dan hak mendapatkan pendidikan pada Perkara 12.

Tetapi, hak-hak ini menjadi terhad apabila Malaysia diserang wabak Covid-19. Kita dihalang untuk berhimpun untuk skala yang besar, kita dihalang untuk pergi ke sekolah atau university untuk menyambung pengajian, kita dihalang untuk pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan ibadah dan kita juga dihalang untuk bergerak merentas daerah.

Kembali kepada persoalan tadi, adakah PKP, PKPD dan PKPB melanggar hak asasi seperti yang digembar-gemburkan?

Jawapannya, tidak. Apabila kita melihat konteks dan objektif kerajaan mengenakan PKP kepada rakyat Malaysia, ianya bertujuan untuk menjaga kesihatan sejagat (public health). Menurut Dr Madeline Berma, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sarawak, perkara paling penting ketika kita menghadapi pandemic ini ialah ‘hak untuk hidup’. Beliau juga berkata bahawa PKP selari dengan Perkara 29 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Perkara 29 UDHR mengatakan bahawa :-

1. Setiap orang mempunyai kewajipan terhadap masyarakat hanya dalam mana perkembangan keperibadiannya secara bebas dan seluruhnya termungkin.

2. Dalam mengamalkan hak-hak dan kebebasannya, setiap orang tertakluk hanya kepada batasan-batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik.

3. Hak-hak dan kebebasan ini tidak boleh sama sekali diamalkan secara bertentangan dengan tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jadi, dapat difahami di sini bahawa setiap orang mempunyai tanggungjawab sosial dalam menjaga kesejahteraan sejagat mengikut garis panduan undang-undang

Apa yang terjadi hari ini ialah kerajaan Malaysia memutuskan arahan PKP sebagai inisiatif untuk menjaga kesihatan sejagat dan secara tidak langsung, ianya melibatkan kesejahteraan sejagat.

Walaupun kita dihalang daripada hak-hak yang telah tertera dalam Perkara 5 sehingga 13 yang melibatkan hak asasi, namun ianya hanyalah bersifat sementara dan kita tidak ditindas serta tiada diskriminasi.

Buktinya, kerajaan Malaysia telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) untuk membantu ekonomi rakyat Malaysia yang terkesan kerana Covid-19.

Bukan itu sahaja, kerajaan Malaysia juga membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar untuk membantu menampung bantuan rakyat Malaysia. Selain itu, bermula 4 Mei, kerajaan Malaysia telah melonggarkan sedikit PKP dengan meletakkan syarat tertentu. Ketika PKP fasa 1 sehingga 3, hanya seorang sahaja yang boleh keluar sebagai wakil keluarga, namun sekarang sudah dibenarkan sehingga 4 orang dalam sebuah kereta daripada keluarga yang sama.

Hal ini membuktikan sekatan dan halangan yang dikenakan oleh kerajaan hanyalah bersifat sementara dan tidak menindas rakyat Malaysia. Penduduk-penduduk kawasan yang dikenakan PKPD pula mendapat keperluan yang secukupnya secara percuma dan kebajikan mereka tidak terabai.

Kesimpulannya, apabila kita melihat semua definisi hak asasi manusia oleh PBB, PKP bukanlah sesuatu perkara yang melanggar hak asasi manusia kerana kebajikan rakyat terjaga atau dalam erti kata lain, tiada penindasan dan diskriminasi yang dikenakan. Bahkan, PKP memenuhi keperluan rakyat Malaysia dalam konteks menjaga kepentingan kesihatan sejagat supaya wabak ini tidak menular serta menjamin kesejahteraan bersama.

Rujukan :

  1. Video “The Restriction of Human Rights During MCO”, Dr Nisar Mohammad Bin Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
  1. https://www.bharian.com.my/node/678989/amp
  2. https://www.aljazeera.com/amp/news/2020/04/dozens-arrested-anti-covid-19-lockdown-protest-germany-200426083407846.html
  3. Perlembagaan Persekutuan Malaysia
  4. https://www.ohchr.org/EN/UDHR/Pages/Language.aspx?LangID=mli
  5. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157465821238212&id=140458708211

*Nahdratul Hana’ merupakan Editor Siswa Pantau dan Pelajar Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan fatwa USIM

________________________________________

Ingin menghantar penulisan anda kepada kami?
Hantarkan tulisan anda ke siswapantau@gmail.com

Ikuti Channel SISWA PANTAU untuk dapatkan informasi terkini yang lebih menarik
https://t.me/siswapantau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *