Jika sebelum ini kami telah senaraikan 5 buku yang wajib dibaca sepanjang PKP, kini kami senaraikan 5 lagi buku yang sesuai untuk dibaca oleh Mahasiswa. Cadangan ini adalah hasil dari editor Siswa Pantau kami iaitu saudari Nadhratul Hana’.
1. Chicken Soup For The Soul

Terbitan : HCI
Bilangan muka surat : 428 muka surat
Tahun diterbitkan : 2001
Chicken Soup For The Soul memang buku yang tidak asing bagi anda yang meminati motivasi secara santai.
Buku ini mengandungi 100 cerita inspirasi tentang mencipta tujuan, semangat dan kebahagiaan hidup.
Dengan gaya penulisan yang mudah difahami dan berbentuk penceritaan, buku ini akan membawa anda kepada sebuah horizon pemikiran yang santai tetapi mendatangkan inspirasi.
Kemunculan buku ini dengan edisi Bahasa Melayu akan memudahkan anda lebih memahami penceritaan dan pengajaran di sebaliknya.
2. Penchinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa

Terbitan : Abad Sinergi
Bilangan muka surat : 344 muka surat
Tahun diterbitkan : 2018
Pernahkah anda mendengar ayat ini?
I am Chinese, I am Chinese
I am the divine blood of the Yellow Emperor.
I came from the highest place of the world.
Pamir is my ancestral home.
Ini adalah sebahagian daripada puisi Wen Yudio yang mengangkat semangat nasionalisme Bangsa Cina.
Ada apa dengan mereka?
Mereka telah merancang sejak zaman dahulu untuk menjadi kuasa besar dunia. Bagaimana? Mengapa? Apakah strategi mereka? Apakah itu projek One Belt One Road? Semuanya dibincangkan di dalam buku Penchinaan Malaysia.
Buku terbitan Iris Institute ini pernah merangkul Anugerah Buku Negara pada 2019 dalam kategori buku geopolitik.
Jadi, buat anda yang meminati bidang politik dan sejarah, anda wajib memiliki dan membaca buku ini terutama buat mahasiswa yang bakal melakar peradaban negara.
3. Kuasa Kepimpinan Al-Fateh

Terbitan : PTS
Bilangan muka surat : 197 muka surat
Tahun diterbitkan : 2017
Kalau tadi, kita telah mengetahui tentang rahsia dan strategi musuh, kali ini saya ingin memperkenalkan sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman.
Penulis buku ini merupakan seorang sosok tubuh yang hebat. Sebut sahaja nama beliau, rata-rata daripada kita mengetahui bahawa beliau merupakan penyampai tetap segmen Ibrah dalam radio IKIM.
Buku ini merungkai strategi dan taktik pemuda hebat pada tahun 1453 iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh untuk membuka Kota Konstantinopel demi membenarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Buku yang pernah menjadi “best seller” ini sangat relevan buat kita yang bergelar pemuda kerana sejarah ini membuktikan simbolik semangat pemuda dalam menegakkan Islam.
4. Membongkar Rahsia Dunia Melayu

Terbitan : Hijjaz Records Publishing
Bilangan muka surat : 335 muka surat
Tahun diterbitkan : 2014
Ke China sudah, ke Turki pun sudah. Tapi, apa gunanya jika kita tidak tahu sejarah bangsa sendiri?
Kata orang, Bangsa Melayu ini bangsa yang sangat hebat suatu ketika dahulu. Tetapi, ada juga yang mengatakan bahawa orang Melayu melawan Portugis hanya menggunakan keris dan pisau?
Yang mana satu fakta, yang mana satu auta?
Sebenarnya, Bangsa Melayu memang sebuah bangsa yang hebat. Tanah Melayu yang kita kenal hanya sekecil Malaysia, tetapi Tanah Melayu yang sebenar meliputi Indonesia, Thailand dan beberapa negara Asia yang lain.
Buku ini membuktikan rahsia dan kehebatan Melayu dahulu kala dalam pelbagai aspek seperti sejarah keturunan Melayu, ilmu pelayaran dan ilmu persenjataan.
Jadi, untuk mengetahui segala fakta dan auta tentang bangsa Melayu, anda boleh membaca buku ini.
5. Tuhan Lebih Saintifik

Terbitan : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Bilangan muka surat : NA
Tahun diterbitkan : 2013
Kalau terasa berat dengan cadangan buku daripada nombor 2 hingga 4, cadangan buku nombor 5 adalah khusus kepada peminat novel.
Melihat kepada nama penulisnya sahaja boleh menarik minat anda. Siapa lagi kalau bukan Dr Farhan Hadi, suami kepada Ustazah Fatimah Syarha.
Walaupun novel ini nampak seperti novel biasa, tetapi sebenarnya novel ini mengisahkan tentang seorang pensyarah Ateis dan seorang ustaz.
Di dalam novel ini, terdapat banyak perbahasan antara mereka tentang ketuhanan dan kaitannya dengan ilmu Sains.
Nampak santai, tetapi anda boleh dapat pelbagai ilmu di dalam novel ini.