Categories
Artikel

5 Buku Wajib baca sepanjang tempoh PKP

Ya, Kerajaan telah mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Maka, bermacam-macam perkara berlegar dalam fikiran mahasiswa tentang apa lagi perkara manfaat yang boleh dibuat untuk mengisi tempoh kuarantin ini.

Oleh itu kami di Siswa Pantau mencadangkan 5 buku yang anda Wajib baca sepanjang tempoh PKP ini. Senarai ini adalah cadangan dari Editor kami iaitu saudari Irdina Hakimah. Moga Bermanfaat!

1. Identiti Politik dan Ekonomi Alam Melayu

Penulis : Dr Norsaleha Md Salleh, Mohd Zulfahmi Md Bahrudin,
Luqman Abd Hamid, Muhammad Wafiq Azman, Prof. Madya
Dr. Zuliskandar Ramli, Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi,
Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Ustaz Hasanuddin Yusof
Terbitan : Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS
Institute)
Bilangan muka surat : 195 muka surat
Tahun diterbitkan : 2018

Buku pertama yang tersenarai adalah pemenang Anugerah Buku Negara 2019. Buku yang berjudul “Identiti dan Ekonomi Alam Melayu” ini merupakan kompilasi tulisan-tulisan para sarjana berkait identiti politik dan ekonomi Alam Melayu. Ia merupakan sebuah buku yang wajib dibaca bagi memperbetulkan cara fikir orang Melayu terhadap jati diri dan tamadun mereka sendiri.

Buku yang sarat dengan pembentangan kajian berkait kegemilangan dan kehebatan bangsa Melayu ini bukan sahaja memberikan input sejarah bahkan ianya mampu mewujudkan satu cara pandang yang lebih tepat terhadap bangsa ini.

Tambahan, ianya membuka mata dan fikiran pembaca untuk memahami sejarah Melayu baik dari segi politik mahupun ekonomi dari dimensi yang lebih holistik, Kajian-kajian tentang ekonomi dan politik Melayu di dalam buku ini jelas menunjukkan bangsa Melayu merupakan bangsa yang dikenali seantero alam suatu ketika dahulu.

Alam Melayu juga sememangnya terlibat secara langsung dalam politik dan ekonomi antarabangsa. Penulisan berkenaan teknologi Alam Melayu juga membuktikan bangsa ini telah pun memilki kebijaksanaan lokal tersendiri dan sudahpun mengatasi teknologi-teknologi bangsa dunia yang lain.

Buku yang ditulis oleh barisan sarjana dan pakar bidang ini merupakan salah sebuah buku yang harus dibaca bukan sahaja kerana tuntasnya fakta dan kajiannya tetapi ianya penting untuk memberi kefahaman dan kesedaran untuk terus berpegang teguh kepada jati diri bangsa Melayu.

2. Homofakta: Membetulkan Persepsi & Auta tentang LGBT

Penulis : Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mohktar
Terbitan : Penerbitan Wahai
Bilangan muka surat : 150 muka surat
Tahun diterbitkan : 2019

Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar merupakan nama yang tidak asing lagi di tanah air kita. Beliau merupakan seorang pensyarah dalam bidang Fisiologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ).

Buku homofakta yang ditulis oleh beliau merupakan himpunan fakta berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dari segenap aspek.

Walaupun menurut penulis, naskhah ini ialah buku separa formal namun buat pembaca pastinya ia sarat dengan fakta berkaitan kesihatan, sains, undang-undang dan hak asasi.

Statistik berkenaan LGBT yang dimuatkan di dalam buku ini memberi tamparan yang cukup hebat buat masyarakat kerana ia memperlihatkan betapa seriusnya kebejatan yang dihadapi umat pada hari ini. Selain itu, persoalan-persoalan yang sering menjadi tanda tanya seperti perkaitan LGBT dan kesihatan mental juga dijelaskan dengan cukup teliti dan fakta yang kukuh. Isu ini turut dibincangkan dari aspek media yang menjadi alat agenda LGBT, kekeluargaan, perundangan dan pendekatan penyelesaian kepada kemelut ini daripada perspektif agama.

Buku Homofakta merupakan sebuah naskhah yang komprehensif yang merungkai isu LBGT dari segenap aspek berasaskan fakta dan inilah antara sebab menjadikan naskhah ini wajib dibaca dan perlu dimiliki sebagai rujukan.

3. Aku Nabi Isa!

Penulis : Dr Rozanizam Zakaria, Pegawai Perubatan Sarjana
Psikiatri. HUSM
Terbitan : PUTEH PRESS
Bilangan muka surat : 202 muka surat
Tahun diterbitkan : Cetakan pertama 2016

Buku wajib baca seterusnya adalah buku berjudul “Aku Nabi Isa” yang dikarang oleh Dr.Rozanizam Zakaria. Buku ini merupakan kompilasi kisah sebenar daripada pengalaman hidup beliau bekerja di unit psikiatri di Adelaide, Australia.

Kebanyakan bab akan menceritakan tentang kisah-kisah yang dihadapi oleh pesakit diikuti dengan fakta dan juga penyelesaian. Walaubagaimanapun di awal buku, penulis telahpun menerangkan kepada pembaca bahawa buku ini bukanlah pengganti kepada rawatan daripada golongan profesional.

Buku ini diolah dengan komprehensif kerana penulis bukan sahaja menerangkan di dalam bentuk penceritaan tetapi ia diperkemaskan lagi dengan fakta berkaitan masalah kesihatan mental, pengajaran yang boleh dipelajari dan perkongsian berkenaan tips atau tindakan yang wajar untuk diambil apabila berhadapan situasi atau kondisi sebagaimana yang ditulis do setiap bab.

“Aku Nabi Isa” dapat membantu membuang stigma negatif terhadap mereka yang menghidap masalah kesihatan mental dan membawa pembaca untuk menilai sesebuah kisah menerusi kaca mata seorang Muslim kerana kebanyakan huraian akan disusuli dengan refleksi daripada Al-Quran dan hadis.

Akhirnya, kisah-kisah ini membawa kita mengenal diri dan juga Tuhan.

4. Jangan Selewengkan Sejarah Melayu

Penulis : Helmi Effendy
Terbitan : Patriots Publication
Bilangan muka surat : 217 muka surat
Tahun diterbitkan : Cetakan pertama 2018

“Jangan Selewengkan Sejarah Melayu” merupakan sebuah buku yang sarat fakta, dapatan kajian dan pembuktian yang menunjukkan bangsa Melayu memiliki identiti dan jati diri tersendiri dan bukannya bertaraf rendah sebagaimana dimomokkan oleh puak liberalis yang sentiasa cuba untuk mencabut akar sejarah bangsa Melayu.

Buku yang digarap kemas oleh saudara Helmi Effendy ini ternyata memberi kita satu perspektif yang baharu dalam memahami sejarah Melayu dengan penulisan yang ringkas, mudah dan padat. Menarik tentang buku ini apabila ia dimulakan dengan pendefinisian Melayu itu sendiri dari aspek Agama, etnik,bangsa dan perlembagaan. Untuk memahami sejarah Melayu, penulis mengajak kita untuk memahami siapakah Melayu terlebih dahulu.

Penulisan di dalam bab lain turut memuatkan kritikan dan jawapan penulis yang membidas hujah-hujah tidak berasas oleh golongan yang cuba merendahkan, menghina dan mengkritik bangsa Melayu tanpa berasaskan sejarah yang benar. Cubaan-cubaaan untuk menyelewengkan sejarah Melayu semakin giat dan lebih parah apabila terdapat bangsa Melayu sendiri yang termakan hasutan malah ada yang penuh bangga merendahkan bangsa sendiri.

Buat semua pejuang agama dan bangsa Melayu di luar sana, buku ini adalah antara buku yang perlu dibaca!

5. Hikayat Budak PHD

Penulis : Dr.Syahr Musafir
Terbitan : Kopi Press Sdn Bhd
Bilangan muka surat : 190 muka surat
Tahun diterbitkan : 2014

Buku Hikayat Budak PhD merupakan perkongsian pengalaman sebagai seorang pelajar PhD yang juga merupakan aktivis dalam NGO. Bukan sahaja pengalaman yang dikongsi, bahkan buku ini juga menyediakan “step by step” yang “simple” dalam merancang kecemerlangan pada peringkat PhD. Penulis turut memuatkan tips yang penting semasa pengajian di peringkat PhD seperti kepentingan untuk mahir dalam IT, pemilihan format tesis dan lain-lain.

Antara poin penting ialah kepentingan menjadi umat yang “beragenda” iaitu memiliki matlamat dan agenda yang jelas dalam kehidupan iaitu untuk memperjuangkan agama Islam. Penuntut ilmu yang bergelar Muslim perlu berdakwah dan menjadi qudwah buat mereka yang Muslim mahupun non-Muslim.

Inilah salah satu manifestasi cinta kita terhadap agama Islam. Dakwah bukanlah yang agenda kedua bahkan ia perlu seiring berada di tempat pertama bersama akademik. Dakwah dan tarbiah adalah nombor satu tetapi akademik bukan nombor dua.

Menjadi seorang pelajar PhD bukanlah penghalang buat penulis beraktivisme .Jika kita menyangka 24 jam menjadi ulat buku adalah tips beliau untuk berjaya ,sehingga penghujung buku tidak akan kita temui. Dr Syahr bukan sahaja aktif dalam NGO seperti Aman Palestin Berhad tetapi turut aktif di dalam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Meletakkan Allah di tempat paling tinggi di dalam kehidupan merupakan salah satu rahsia beliau mengurus kehidupan sebagai seorang aktivis dakwah dan penuntut ilmu.
Jiwa kena besar, terbang kena tinggi!

Kesimpulan

Berikut merupakan 5 buah buku yang disarankan untuk dibaca sepanjang tempoh PKP ini. Lebih banyak cadangan dan resensi buku menarik bakal menyusul selepas ini! Terus terokai berita menarik dan isu semasa universiti dan mahasiswa seantero dunia bersama kami di Siswa Pantau.

Selamat membaca dan membina intelektual!

________________________________________

Ingin menghantar penulisan anda kepada kami?
Hantarkan tulisan anda ke siswapantau@gmail.com

Ikuti Channel SISWA PANTAU untuk dapatkan informasi terkini yang lebih menarik
https://t.me/siswapantau

1 reply on “5 Buku Wajib baca sepanjang tempoh PKP”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *